Saturday 4 February 2017

LP Hukum Karma - Satu Lagi Khazanah Tempatan



Peminat rock kapak tanahair sekali lagi disajikan dengan hidangan LP yang ganaih.  Keluar dengan versi tiga warna yakni merah, hitam dan biru, LP Wings berjudul Hukum Karma ini merupakan LP tempatan terbaru yang telah mula diedarkan oleh Zan Din di bulan Disember 2016 untuk versi merah dan hitam. Ini disusuli dengan versi biru yang diedarkan oleh Dream Studio di bawah kelolaan Dato Zaharul Anuar pada penghujung Januari 2017.

Apa bezanya antara ketiga2 versi ini? Semuanya agak sama kecuali versi biru dikeluarkan dengan pakej T-Shirt dan bandana. Di masa yang sama, CD Edisi Emas dengan dua lagu tambahan juga diedarkan pada waktu yang sama (jualan asing).

Taman Rashidah Utama

Saya telah membeli kesemua versi LP ini semata-mata kerana nostalgia membesar dengan alunan muzik Wings. Lebih2 lagi, album ini diperkenalkan kepada saya dalam bentuk kaset oleh abang saya, agak2 sekitar 1988 atau 1989. 

Dari segi pengeluaran, kualiti kulit luar dan poster amat memuaskan. Kualiti kulit dalam diperbuat oleh kertas putih. Agak biasa. Untuk versi biru, pengeluaran 100 yang pertama telah di cap dengan nombor bersiri 1 ke 100.

Yang lebih penting sekarang adalah mutu bunyi yang dikeluarkan. Seperti yang kita semua maklum, pengeluaran LP mesti menitiberatkan penjagaan kualiti pada setiap tahap pengeluaran. Setiap tahap akan mempengaruhi mutu audio yang dihasilkan. Apabila lagu Taman Rashidah Utama diputarkan, jelas dapat didengar mutu audio yang agak bertenaga dan pementasan bunyi yang agak luas. Ini dapat didengar dari bunyi hujan semasa pembukaan lagu ini. Satu kelebihan LP ini ialah fokusnya terhadap vokal Dato Awie yang diketengahkan. Selain itu, bunyi paluan deram oleh Black amat padu bunyinya dan tidak berkecamuk atau dalam istilah Inggeris muffled sound. Setiap paluan tom2 dan pedal kaki amat bertenaga. Gorengan gitar Joe pula walapun nyaring, ia adalah di tahap yang sesuai untuk menonjolkan konsep rock kumpulan Wings. 

  
Hikayat Penuh Ranjau

Terus terang saya nyatakan, lagu kegemaran saya dalam album ini bukanlah Taman Rashidah Utama atau Misteri Mimpi Syakila. Lagu kegemaran saya adalah Hikayat Penuh Ranjau. Melodi yang rock tapi indah ini berserta dengan lirik yang mudah, serba sedikit mempunyai kesan peribadi buat saya. Di sini juga, mutu audio yang dilahirkan memperketengahkan vokal Dato Awie yang garau dan rock dengan amat baik. Petikan bass oleh Eddie juga agak melodik di dalam lagu ini. 

Secara keseluruhannya, pengeluaran LP agak bagus. Ada sedikit kelemahan dari segi bahagian nada tinggi tetapi ia tidaklah mencacatkan pengalaman mendengar lagu-lagu di dalam LP ini.

Kepada peminat rock tanah air, LP ini haruslah menjadi sebahagian dari koleksi LP anda. Belilah jikalau anda memang pengguna LP sebagai sumber musik anda. Untuk membeli LP ini, bolehlah hubungi Dream Studio atau melalui Raja2 LP Malaysia di Facebook seperti Sezali Zakaria, Jpari Din, Zan Din dan ramai lagi.

Frasa kunci di sini adalah - Edisi Terhad! Apabila kesemua stok telah dijual, tiada lagi pengeluaran akan dibuat. Jikalau tidak silap, hanya 1000 keping dihasilkan untuk semua versi digabungkan.

Terima kasih khas buat Dato Zaharul dari Dream Studio dan juga Zan Din kerana berusaha untuk mengeluarkan LP keramat ini.


No comments: